ALKISAH TEMAN DAN SAHABAT
Arakian kisahnya, Teman dan Sahabat.
Menatap wajahnya Sahabat tidak dengan mata,
Tidak perlu dengan mata,
Butapun tidak mengapa,
Kerana cukuplah hati merasa
Cukuplah sekadar kehadirannya,
Membangkitkan syurga restu,
Kerana syurga pun ingin ikut sama,
Dan dekat dengan Sahabat dan Teman keranaMu
Suatu hari azali,
Sahabat penat penuh lelah,
Segala kerah peluh berbaur darah,
Bingkas dikesat Teman walau payah
Kerana baginya tiada segala susah
Alkisah dinihari Sahabat berjalan,
Berkaki lalu mengais makan,
Dan akhirnya senja mengufuk kanan,
Melangkah Sahabat penuh kelaparan,
Kerna Teman tahu Sahabat kelaparan,
Lantas menggegas Teman memacu pulang,
Dengan Sahabat di belakang,
Walau jua Teman sakit segala urat tulang,
Sahabat menangis,
Bahkan Teman bertambah sadis,
Teman ketawa,
Sahabat tumpang gembira,
Zaman menjengah usia,
Teman dan Sahabat kian tua
Hingga akhirnya,
Padam dalam pusara,
Alkisahnya Teman dan Sahabat,
Tidak akan pernah lupa,
Kerana akan lahirnya kembali jua,
Dalam semangat tiap jiwa,
Yang bernama Manusia.
(NUKILAN :shaffiqishak 2015)